Tujuh pos sempadan PGA baharu di Sarawak akan dimuktamad – Acryl Sani

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

Kuching, 22 Jun – Tujuh lokasi pos kawalan sempadan baharu Pasukan Perakan Am (PGA) di Sarawak akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Katanya pihaknya juga telah mendapatkan pandangan dan persetujuan bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai lokasi pos tersebut yang dicadang dibina di sepanjang sempadan Kalimantan-Sarawak.

Menurutnya, peruntukan untuk membina pos kawalan baharu itu juga telah diluluskan kerajaan dan ia harus dibelanjakan pada tahun ini.

“Oleh sebab itu, kita berbincang dengan Abang Johari bagi memastikan lokasi pos ini betul-betul sesuai, strategik dan dapat memainkan fungsi dan peranannya dengan baik.

“Di samping itu, kita juga mahu pos tersebut menyediakan perkhidmatan polis asas seperti tempat membuat laporan polis buat penduduk di kawasan berdekatan pos tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan kerajaan Sarawak bagi membina jalan rondaan sempadan untuk membolehkan pihak berkuasa seperti PGA membuat rondaan dan tinjauan.

Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan anggota di Sarawak, beliau berkata satu batalion baharu PGA di Sri Aman akan dibuka bagi mengukuhkan keanggotaan selain meningkatkan kawalan di negeri itu.

“Usaha pembukaan batalion PGA di Sri Aman kini dalam peringkat akhir dan kita sedang mendapatkan jawatan (isi jawatan) di sana. Apabila sudah beroperasi nanti, kita akan mampu mengukuhkan lagi kawalan di Sarawak,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1014
Kongsi :
Previous post Tiada jemaah haji disekat perjalanan ke Makkah – Imigresen
Next post Keputusan rayuan kerajaan berhubung kewarganegaraan anak lahir luar negara pada 5 Ogos
Ubah saiz-+=