Tujuh sekeluarga diselamatkan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

GADEK 21 Nov. – Jabatan Bomba dan Penyelamat menyelamatkan tujuh sekeluarga yang terperangkap dalam sebuah rumah dinaiki air di Kampung Gadek, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, tiga lelaki dan empat wanita dewasa berusia antara 22 hingga 60 tahun, diselamatkan anggota bomba selepas menerima panggilan daripada penduduk kampung.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah menerima panggilan pada jam 8.05 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 8.22 pagi.

Operasi menyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Asnizam Kamberon dan PBK II Zul Akhman Othman bersama-sama 19 anggota bomba.

“Pegawai dan anggota bomba menggunakan bot gentian kaca untuk mengangkat semua mangsa keluar dari kediaman itu.

“Mangsa dibawa ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Gadek yang sudah disanitasi sebelum mangsa dipindahkan,” katanya di sini hari ini.

Operasi bomba di kawasan dinaiki air dilaporkan terkawal pada jam 2.42 petang, katanya.

Penduduk kampung, Sulaiman Abduk Jabbar berkata, hujan lebat berterusan sejak jam 8 malam tadi menyebabkan sungai di kampung itu melimpah dan mula memasuki rumah penduduk pada jam 5 pagi tadi.

“Hujan berhenti sekejap dan kemudian hujan lagi hingga pagi ini dan saya bersyukur keluarga itu berjaya diselamatkan daripada kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, kampung itu sering dilanda banjir jika hujan lebat berterusan antara dua hingga tiga hari dan kali terakhir banjir sebelum malam tadi adalah pada Januari lalu.

Bagaimanapun, banjir berkenaan tidak menyebabkan sesiapa pun dipindahkan ke PPS kerana air hanya naik dalam tempoh kira-kira dua jam pada sebelah pagi, katanya.

Beliau berkata, kampung berkenaan terletak di kawasan rendah dan mudah dinaiki air walaupun hujan hanya antara dua hingga tiga jam pada musim tengkujuh seperti sekarang.

Views:

233
Kongsi :
Previous post Buat EIA sebelum rancang pembangunan
Next post Tidak perlu bekukan cuti – Mohd Redzuan
Ubah saiz-+=