Tujuh tahun anak ‘mengidam’ KFC, akhirnya ditunaikan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Disember – “Terima kasih kerana gembirakan anak saya. Dia teruja dapat makan ayam goreng KFC. Sebelum ini dia memang hari-hari minta saya untuk belikan.

“Tetapi saya belum mampu beli lagi dan hanya cakap padanya kalau ada duit lebih baru boleh beli,” luah seorang ibu, Azlina Abdullah, 42.

Azlina meluahkan rasa syukur itu kerana akhirnya perkara yang diidamkan anak tunggalnya, Muhammad Amirul Aiman Abd Rasid, 11, dipenuhi selepas hampir tujuh tahun tidak pernah menikmati hidangan di restoran makanan segera itu.

Dua beranak itu antara kira-kira 100 asnaf yang diraikan dalam Program Wayang Sekampung Merlimau menerusi ihsan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Pada program itu peserta diberikan peluang menonton filem animasi negara, Mechamato di pawagan di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, di sini, semalam.

Bagi Azlina, dia begitu teruja selepas dihubungi sendiri oleh Dr. Muhamad Akmal untuk menjemputnya bersama-sama menyertai rombongan itu.

“YB (Yang Berhormat) ada hubungi saya untuk bersama-sama sertai program ini. Saya macam tidak percaya sebab selama ini tiada siapa pun yang ajak kami. Malah anak saya pun teruja nak tonton cerita yang diidamkannya itu dan kami tidak lepaskan peluang ini.

“Alhamdulillah sebab dapat gembirakan hati anak saya kerana bagi saya seorang ibu belum mampu hiburkan hati anak saya,” luahnya.

Dia hilang tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia, malah wanita ini terus diduga apabila dia sendiri terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Pada 2016 setahun selepas suami pergi saya terlibat dengan kemalangan motosikal. Hampir tujuh tahun saya hanya duduk di rumah sahaja.

“Setakat ini kami bergantung kepada pencen arwah suami yang hanya hanya sekadar mampu untuk menampung pembayaran bil elektrik dan air, selebihnya digunakan untuk beli barangan dapur.

“Kalau ada duit lebih bolehlah saya beli ayam goreng untuk dimakan bersama anak. Makan daging pula hanya pada waktu hari raya sahaja.

“Nak tunggu bantuan memang belum ada yang bagi tapi setakat ini saya telah isi borang permohonan dan menunggu maklum balas daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10334
Kongsi :
Previous post Waris mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali terima pencen penakat
Next post COVID-19: ‘Frontliner’, golongan berisiko disaran ambil dos penggalak
Ubah saiz-+=