Tun Mohd Ali bangga pencapaian UTeM di peringkat antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 Dis – Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam berbangga dengan pencapaian Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang tersenarai di Badan Penilai Dunia QS Ranking International dan Times Higher Education World University Ranking.

Beliau berkata, pencapaian itu sekali gus memberi pulangan penarafan tertinggi kepada impak pembangunan ekonomi pelancongan Melaka.

“Ini kerana agenda kerajaan negeri adalah menjadikan Melaka sebagai wadah ‘Melaka Hab Pendidikan’.

“Kemasukan pelajar-pelajar dari pelbagai negara antaranya UEA, Kanada, China, Jordan, Mesir dan Indonesia ini akan membantu dalam inisiatif tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen UTeM Ke-16 di Dewan Canselori Kampus Induk UTeM, hari ini.

YANG di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Konvokesyen Ke – 16 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Melaka. Foto: MR. Azli

Beliau yang juga Canselor UTeM menyeru para graduan untuk menerapkan azam menceburi sesuatu yang luar biasa memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

“Kebergantungan pada pasaran kerja tempatan sahaja sudah tidak memadai.

“Percayalah perubahan ini akan memberi impak yang besar kepada graduan semua dan menjadi kebanggaan ibu bapa, bangsa dan negara,” katanya.

Terdahulu Tun Mohd Ali menyampaikan anugerah kepada seramai 213 graduan bagi sesi pertama konvokesyen tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1770
Kongsi :
Previous post 137 positif, Kluster Pulau Gadong kini terkawal
Next post Kerajaan tiada hasrat tarik lesen jual minuman keras – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=