
TUNGGAKAN LEBIH RM21 JUTA, MPHTJ PERGIAT OPERASI CUKAI TAKSIRAN
AYER KEROH 3 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merekodkan tunggakan cukai taksiran lebih RM21,519,000 sehingga April tahun ini.
Yang Dipertua (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, tunggakan itu membabitkan sebanyak 17,193 pegangan termasuk 521 daripadanya adalah kategori tanah.
“Manakala sebanyak 17,193 pegangan pula adalah tunggakan premis atau bangunan membabitkan nilai tunggakan berjumlah RM21,166,596.53.
“Jumlah tunggakan ini adalah hasil yang diperoleh oleh MPHTJ membabitkan pemilik tanah dan bangunan yang masih gagal menjelaskan cukai taksiran keatas aset mereka,” katanya.
Menurut Sapiah, pihaknya menerusi unit yang terbabit termasuk Unit Pengurusan Tunggakan bersama Jabatan Penguatkuasaan mengadakan Operasi Tunggakan Cukai MPHTJ mengikut kawasan.
“Dalam operasi terbaharu yang dijalankan pada 30 April pasukan operasi bergerak ke dua kawasan utama iaitu Pusat Komersial dan Perindustrian Gangsa Jaya serta Perindustrian Nuri membabitkan 32 pegangan cukai.
“Hasil daripada tindakan itu, sebanyak 11 pegangan telah melunaskan bayaran cukai tertunggak dengan jumlah keseluruhan RM78,130.
“Selain itu terdapat juga beberapa pemilik tampil memohon pelan bayaran ansurans manakala beberapa premis dikenal pasti tidak beroperasi,” katanya.
Justeru, beliau memaklumkan tindakan penampalan notis amaran telah dilakukan keatas premis kosong itu sebagai langkah awal penguatkuasaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.