TYT sampai hadiah Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 21 Okt – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Pidato Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Kehadiran Mohd Ali pada jam 3.30 petang di Dewan Seri Utama Pejabat TYT disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ismail Othman.

Pertandingan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, itu diadakan secara atas talian sambil disaksikan Mohd Ali dan Ismail serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 16 September lalu.

Pengarah program, Profesor Datuk Dr Baharudin Puteh berkata program berkenaan sebanyak lima kategori dipertandingkan termasuk kategori pidato bukan Melayu.

Profesor Datuk Dr Baharudin Puteh

Katanya, program berkenaan yang pertama kali diadakan secara norma baharu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dari seluruh negara.

“Alhamdulillah, pertandingan itu mendapat tempat seramai 970 peserta di seluruh Malaysia dan penyertaan itu di luar jangkaan,” katanya ketika ditemui sebaik selesai majlis terbabit.

Dalam program berkenaan, guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung, Pontian, Johor berjaya merangkul johan bagi kategori awam sekali gus meraih gelaran pemidato terbaik dalam pertandingan tersebut.

Manakala bagi kategori bukan Melayu, surirumah yang juga bekas pengajar sebuah institut pengajian tinggi di sini, P Selvi, 46 berjaya meraih johan.

Bagi Kategori sekolah menengah dimenangi pelajar Kolej Tunju Kurshiah, Negeri Sembilan maanakala bagi kategori institut pengajian tinggi (IPT) diraih pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairul Aizat Yusoff.

Pemenang bagi kategori sekolah rendah menjadi milik Hayfa Adni Nasaruddin daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, Pahang.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post UTeM, Hatten Land Limited jalin kerjasama
Next post Majlis Presiden PH tolak Norhizam
Ubah saiz-+=