Majlis Presiden PH tolak Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 21 Okt – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menolak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon parti pembangkang itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pembangkang menerusi satu kenyataan berkata, mesyuarat hari ini turut tidak membangkitkan pencalonan tiga lagi bekas ADUN Melaka bagi menghadapi PRN yang diadakan 20 Novemberi ini.

“Dalam isu empat bekas ADUN, PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini. Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.

“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.

“Majlis Presiden turut memutuskan bahawa Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH dalam PRN Melaka,” katanya.

Kenyataan Majlis Presiden itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Dalam pada itu, Majlis Presiden bagaimanapun bersetuju melantik Pengerusi PH negeri, Adly Zahari mengetuai jentera pilihan raya PH bagi menghadapi PRN negeri.

Selain daripada itu, pihaknya juga akan menghantar wakil untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur operasi standard (SOP) PRN negeri.

“Ini bagi menyatakan pandangan PH dan memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas.

“Kita mahukan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” kata kenyataan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

807
Kongsi :
Previous post TYT sampai hadiah Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan
Next post ‘Allahyarham Mohd Diya ikon penyelamat sejati’ – Sulaiman
Ubah saiz-+=