Ubah suai bangunan perlu kelulusan Jabatan Warisan Negara – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDA HILIR 10 Julai – Penambahbaikan bangunan warisan dan sejarah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dilaksanakan secara berperingkat sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, ia bagi memastikan pengiktirafan Melaka sebagai negeri warisan terus kekal.

Bagaimanapun katanya, bagi mengubah suai bangunan digazetkan dibenarkan namun perlu merujuk kepada Jabatan Warisan Negara untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Untuk ubah suai bangunan yang sudah digazetkan boleh, tetapi ada kaedahnya. Kita perlu dapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Warisan Negara sebelum menambah baik atau menaik taraf bangunan tersebut.

“Jika kita ubah suai tanpa kelulusan pengiktirafan sebagai tapak warisan, ia boleh ditarik semula oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Sebagai contoh, kerja-kerja berkenaan akan melibatkan bangunan warisan dan sejarah di sekitar Banda Hilir seperti Stadhuys, Kota A Famosa dan Jonker Walk,” katanya.

photo_2023-07-10_00-31-01
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman mengadakan sidang akhbar pada Melaka Heritage Celebration 2023 sempena Melaka Heritage Festival (Sambutan Ulangtahun ke-15 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – Unesco) di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Festival Melaka Heritage 2023 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – UNESCO di Memorial Pengisytiharan di sini, hari ini.

Festival berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Shadan berkata pihaknya sedang menaik taraf semua tandas dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan pelancongan di Banda Hilir bagi keselesaan pengunjung.

“Kita mahu pastikan semua tandas berkenaan mencapai taraf ‘BMW’ iaitu Bersih, Menawan dan Wangi seperti disarankan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan sekali gus memberi imej yang baik kepada pelancong tentang aspek kebersihan tandas awam di negeri ini.

“Di MBMB juga, kita mempunyai satu tandas yang menerima Anugerah Standard Pelancongan Asean Kategori ‘Asean Public Toilet Standard’ Peringkat Kebangsaan bagi Tandas Graha Makmur,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1701
Kongsi :
Previous post Utamakan pulihara harta warisan Melaka – KM
Next post Dua maut, tiga parah dalam kemalangan babitkan bas dan kereta
Ubah saiz-+=