Utamakan pulihara harta warisan Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 9 Julai – Kerajaan Negeri mahu pemuliharaan tapak warisan di negeri ini diberikan keutamaan bagi memastikan nilai warisan yang ada di Melaka menjadi kebanggaan generasi masa hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tapak warisan itu mempunyai nilai sejagat yang luar biasa mengandungi pelbagai cerita sejarah,  antaranya seperti runtuhan purba, monumen bersejarah, landskap semula jadi dan amalan budaya.

Katanya, pemuliharaan perlu dititik beratkan kerana ia merupakan harta Melaka yang penting dalam menjadikan negeri ini destinasi pelancongan popular sekali gus membantu untuk menjana ekonomi setempat.

“Justeru, tapak warisan ini perlu sentiasa dilindungi dan dipelihara untuk memastikan nilai warisan ini menjadi kebanggaan dan rujukan berterusan buat generasi akan datang khususnya anak-anak Melaka.

“Apatah lagi, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan slogan “Mana lagi? Melaka ler…!”.

“Saya juga menyeru kepada PBT, Jabatan Warisan, PERZIM dan pihak lain terlibat untuk sentiasa memantau kebersihan di lokasi- lokasi tapak warisan ini agar tapak ini sentiasa bersih serta dapat mengadakan program-program menarik untuk para pelancong dan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Melaka Heritage 2023 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – UNESCO di Memorial Pengisytiharan di sini, hari ini.

Festival berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Zuriyah Abd Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

IMG_1245
Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Zaidi Johari hadir pada Melaka Heritage Celebration 2023 sempena Melaka Heritage Festival (Sambutan Ulangtahun ke-15 Melaka Bandaraya Warisan Dunia – Unesco) di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Ujarnya, festival berkenaan menampilkan lapan budaya etnik yang tersohor di Melaka terdiri daripada Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Portugis, Chetti, Jawa dan Orang Asli.

“Saya percaya, acara ini boleh membantu memperkenalkan warisan Negeri Melaka terutamanya kepada generasi muda untuk terus diwarisi di masa hadapan.

“Ini juga selaras dengan slogan kita iaitu Warisan Untuk Generasi atau Heritage for Generations,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2862
Kongsi :
Previous post Budaya lapan etnik memukau di Festival Melaka Heritage
Next post Ubah suai bangunan perlu kelulusan Jabatan Warisan Negara – MBMB
Ubah saiz-+=