UKM universiti awam pertama buka cawangan di luar negara

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar satu lembaran baharu dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan tinggi apabila menjadi universiti awam pertama yang membuka cawangan di luar negara iaitu di Doha, Qatar.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengambilan penuntut sulung universiti itu akan dijalankan Oktober ini dan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) berkenaan penubuhan cawangan di Doha semalam disaksikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Perjanjian ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Sheikh Abd Rahman bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani, Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar. Foto Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM

MoA antara UKM dan The Regional Group of Qatar yang merupakan sebuah syarikat pengurusan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan di Qatar dianggap sebagai satu kejayaan kepada UKM dalam menjadi pemangkin bagi universiti awam mengembangkan sayap ke luar negara.

Noraini dalam ucapan pada majlis itu berkata pemeteraian perjanjian itu membuka lembaran baharu kepada institusi pengajian tinggi Malaysia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dari segi penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan pembelajaran, perundingan serta pembangunan komuniti, walaupun menghadapi masa mencabar akibat wabak COVID-19.

“Saya gembira UKM telah menjadi penyumbang kepada pencapaian itu dan mengambil langkah seterusnya untuk meluaskan penglibatan pengantarabangsaannya dengan melebarkan sayap ke Qatar,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif Regional Group Company Qatar Sheikh Abd Rahman Khalifa Abdul Aziz Al-Thani.

Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata pembukaan cawangan UKM di Doha akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.

“UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Sebagai sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentasi sempadan dunia. Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac (MoA berkenaan penawaran program), UKM bersetuju untuk menawarkan program-program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara pesisir di Doha,” katanya.

Beliau berkata The Regional Group bertindak dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran, manakala UKM bertanggungjawab menyediakan input akademik melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2865
Kongsi :
Previous post Kes pinda laporan audit 1MDB : Pendakwaan mahu Arul Kanda jadi saksi
Next post PM Ismail Sabri ajak Keluarga Malaysia kecam kekejaman Zionis terhadap Palestin
Ubah saiz-+=