
ASAHAN GAMAT DENGAN KEHADIRAN 1,000 PENYOKONG BN
ASAHAN 31 Oktober – Kibaran bendera parti, sorakan penyokong dan kehadiran kira-kira 1,000 penyokong Barisan Nasional (BN) mencetuskan suasana meriah di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Teknorat ADTEC JTM Kampus Selandar, di sini, pagi ini.
Ketibaan Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan kira-kira jam 8.30 pagi turut menarik perhatian penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada calon berkenaan.
Beliau yang mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 itu tiba dengan diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Kehadiran kira-kira 1,000 penyokong itu turut diserikan dengan konvoi bermotosikal yang dianggarkan membabitkan kira-kira 300 motosikal menuju ke lokasi penamaan calon.
Penyokong yang membawa bendera dan sepanduk parti memenuhi kawasan sekitar PPC, sekali gus memperlihatkan sokongan jentera parti terhadap Fairul Nizam yang akan mempertahankan kerusi berkenaan.
Suasana sekitar pusat berkenaan turut menjadi tumpuan orang ramai yang hadir mengikuti perkembangan proses penamaan calon bagi PRN Melaka Ke-16.
Proses penamaan calon berlangsung di PPC berkenaan bagi membolehkan parti politik dan calon yang bertanding mengemukakan kertas penamaan masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


