Sorting by

×

Ukuran Indeks Kebahagiaan tanda aras kualiti PBT – Pakar

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 3 April – Pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia penting untuk dilaksanakan sebagai tanda aras dalam memperkasa perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat sekali gus menjamin kesejahteraan negara.

Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Suhardi Maulan berkata indikator digariskan antaranya kemudahan awam serta penyediaan infrastruktur asas mampu menjadi garis panduan dalam menyelesaikan masalah berbangkit seterusnya menambah baik kualiti kehidupan penduduk di sesebuah bandar.

“Dalam sesebuah bandar, PBT adalah agensi kerajaan paling rapat dengan masyarakat terutama dalam mengatasi segala masalah dihadapi penduduk seperti soal penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

“Isu perbandaran seperti ini walaupun dilihat kecil dan remeh, hakikatnya jika tidak ditangani dengan efisien akan menjejaskan emosi dan kualiti kehidupan penduduk,” katanya kepada Bernama.

Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) baru-baru ini mengeluarkan senarai 80 daripada 114 PBT di Semenanjung dan Sabah mencapai skor Indeks Kebahagiaan 2021 melebihi 80 peratus, berdasarkan aspek berkaitan tahap dan kualiti perkhidmatan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan pepejal dan kutipan sampah.

Suhardi yang juga Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) berkata jika dilihat dari sudut positif, indeks kebahagiaan itu juga membantu mengenal pasti kelebihan dan kelemahan setiap PBT melalui 14 indikator digariskan seperti tahap kehidupan dan kesihatan, keselamatan kawasan kediaman dan kemudahan awam.

Turut diambil kira ialah infrastruktur asas, kebahagiaan bersama keluarga dan saudara-mara serta keseronokan bekerja, pengurusan kewangan, hubungan dengan jiran, aktiviti bersama komuniti, perkhidmatan PBT dan pemimpin tempatan serta kualiti alam sekitar.

“Pada masa sama, pentadbiran bandar juga harus bersedia menghadapi pertambahan jumlah penduduk yang tinggal di bandar kerana dijangkakan menjelang 2030, keluasan kawasan bandar di Malaysia dijangka bertambah hingga 70 ke 80 peratus,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (Senibina dan Rekabentuk Bandar) Universiti Teknologi Malaysia Dr Nurul Azreen Azlan berkata tumpuan dan penambahbaikan perlu dibuat kepada aspek yang lebih konkrit seperti penyediaan kemudahan awam dan kualiti alam sekitar

“Contohnya, persekitaran selamat dan kemudahan awam yang baik secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan tekanan seterusnya meningkatkan kesihatan diri,” katanya.

Beliau berkata persekitaran bandar besar berstatus bandar dan bandar raya yang lebih kompleks menjadikan tahap cabaran dihadapi PBT untuk pengurusan persekitaran dan perkhidmatan berbeza selain faktor kos sara hidup serta hubungan komuniti.

Mengambil contoh Kuala Lumpur yang hanya mendapat indeks kebahagiaan 78.6 peratus dan diklasifikasikan sebagai ‘sederhana bahagia’, Nurul Azreen berkata PBT menghadapi cabaran besar dalam menguruskan ibu negara agar terus berdaya tahan sebagai usaha mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan bandar raya serta perkhidmatan kepada warga kota.

“Kuala Lumpur perlu meningkatkan kualiti persekitaran melalui reka bentuk perbandaran lebih kondusif dan berkualiti tinggi dengan mengutamakan akses pengangkutan awam selain memperbanyak kawasan hijau,” katanya sambil menambah faktor perubahan iklim juga perlu diambil kira bagi pengurusan bencana lebih baik.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1129
Kongsi :
Previous post 33,700 individu lepasi sempadan Malaysia-Singapura setakat 5 petang semalam
Next post Ramadan dalam Fasa Peralihan Endemik, PM titip pesan jangan leka
Ubah saiz-+=