Usah ragu keberkesanan vaksin COVID-19- Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 2 Mac. – Tahap keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap imuniti diyakini mampu mencapai 57 peratus selepas menerima suntikan dos pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau yakin tahap keberkesanan itu mampu meningkat sehingga menjangkau 94 peratus apabila suntikan dos kedua diberikan.

Katanya, beliau yakin vaksin berkenaan kaedah terbaik buat masa ini dalam usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

“Keyakinan saya berdasarkan 57 peratus imuniti yang telah pun masuk ke dalam tubuh badan dan insya-Allah dalam tempoh tiga minggu lagi, ia mampu mencapai 94 peratus,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech pada Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat di negeri ini tidak ragu-ragu dan membuat permohonan bagi menjalani imunisasi itu melalui aplikasi MySejahtera.

“Seruan saya kepada orang atau masyarakat yang ramai ragu-ragu dengan vaksin ini, tidak perlu ragu-ragu.

“(Sebaliknya) kita yakin dengan kebolehan pasukan perubatan di negara kita yang melakukan banyak ujian klinikal dan testimoni,” katanya.

Terdahulu, Rahmad antara enam individu terawal selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang menerima suntikan itu.

Hari ini, 60 individu membabitkan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) petugas kerajaan negeri serta wakil rakyat menerima suntikan di dewan berkenaan.

Manakala 977 lagi individu menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech serentak di 23 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Melaka hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

551
Kongsi :
Previous post PKPP di Melaka bermula Jumaat ini
Next post Majlis sosial, kenduri kahwin di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan
Ubah saiz-+=