Usaha menjadikan Melaka bandar lestari dilakukan secara berperingkat

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 10 Disember – Kerajaan Negeri perlu melepasi lebih 70 indikator untuk mencapai pengiktirafan bandar lestari, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Beliau berkata, indikator ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu perlu dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Dalam bandar lestari kita ada enam dimensi dan tidak silap saya 72 indikator yang antaranya merentasi jabatan (kerajaan) bukan sahaja PBT malah pengolahan dan pencapaian indikator itu merentasi sempadan antaranya tentang Program Air Tanpa Hasil (NRW).

“Ini di bawah portfolio JKR, jadi kita perlu selaraskan program ini dan mencari jalan untuk meningkatkan atau mengurangkan NRW di Negeri Melaka yang sekarang ini berada pada (tahap) 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perasmian Program Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata antara langkah dijalankan untuk ke arah bandar lestari adalah menggantikan asbestos Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sejauh 1,080 kilometer.

Katanya, penggantian itu bertujuan untuk mengurangkan kadar kehilangan air dalam tanah itu membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM65 juta dan dilakukan secara berfasa berdasarkan kepada peruntukan yang diterima.

“Begitu juga dengan bekalan elektrik, kita perlu tengok juga perkara ini sebagai dinamik, jadi sasaran yang lebih terperinci itu akan dirangka sekiranya sudah dapat peruntukan.

“Buat masa sekarang ini, ‘the way forward’ sudah nampak (perkembangan), berapa cepat kita boleh dapat peruntukan, baru boleh kita sasarkan untuk capai bandar lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2031
Kongsi :
Previous post Projek LCS diteruskan – Menteri Pertahanan
Next post Senarai penuh anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan
Ubah saiz-+=