Utamakan integriti dalam perkhidmatan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 November – Semua penjawat awam di Negeri Melaka diingatkan agar sentiasa mengutamakan integriti, sekali gus menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan pantas kepada rakyat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari berkata, setiap penjawat awam juga perlu berakauntabiliti terhadap semua perilaku atau keputusan  yang dibuat.

“Setiap penjawat awam perlu menjajar semula fungsi organisasi bagi memastikan kebolehlaksanaan perkhidmatan supaya memanfaatkan seluruh masyarakat.

“Malah dalam kita memberi tumpuan untuk menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan pantas, hendaklah kita pastikan bahawa integriti selaku penjawat awam sentiasa dijaga.

“Prosedur yang betul wajib dijadikan sebagai amalan supaya tiada ruang untuk jenayah rasuah berlaku di persekitaran kita,” katanya ketika berucap pada perasmian Program ‘United We Stand’ Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Zon Selatan yang turut dihadiri Presiden, Kesatuan Pegawai Eksekutif @Malaysia Azrie Azeh, di sebuah hotel di Bukit Cina, di sini, hari ini.

Menurut beliau, penjawat awam juga hendaklah mempersiapkan diri dengan meningkatkan pembelajaran dan berpengetahuan.

“Bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa berdaya saing dan mengikuti peredaran zaman, penjawat awam harus bersedia untuk membuat perubahan antaranya mengadaptasi unsur teknologi.

“Selain itu penjawat awam juga diingatkan untuk peka dengan persekitaran supaya dapat mengamalkan peraturan dan arahan yang masih berkuatkuasa serta berkredibiliti untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

803
Kongsi :
Previous post JPJ keluar 2,665 notis saman kepada pemandu warga asing sejak 1 November
Next post Kanak-kanak lelaki melecur seluruh badan terkena renjatan elektrik
Ubah saiz-+=