UTEM ANJUR MAJLIS KHAS  RAIKAN  TUN DR. MOHD ALI

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

DURIAN TUNGGAL 18 September – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Majlis Khas Sambutan Hari Kelahiran ke-75 tahun, Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam baru-baru ini.

Majlis meraikan Tun Dr. Mohd Ali yang juga Canselor UTeM itu diserikan lagi dengan kehadiran isteri beliau Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Asmah Ab Rahman.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penganjuran majlis itu bertujuan menyambut hari kelahiran Tun Dr. Mohd Ali selain tanda penghargaan kepada beliau sebagai Canselor UTeM.

Jelas Dr. Massila, selain warga UTeM pihaknya turut menjemput wakil beberapa sekolah dan pertubuhan untuk bersama-sama memeriahkan majlis.

“Ini menzahirkan keprihatinan UTeM untuk berkongsi rezeki bersama komuniti dan merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat seperti disarankan Tun Canselor. UTeM turut menyampaikan sumbangan sebanyak 1,887 barangan terpakai seperti perabot pejabat, perabot asrama, perabot bilik kuliah, pendingin hawa dan kipas siling kepada sekolah-sekolah serta pertubuhan terlibat di Melaka.

“Sumbangan ini bertujuan membantu pengoperasian jabatan dan sekolah-sekolah berkenaan selain mewujudkan persekitaran pengajaran serta pembelajaran yang selesa.

“Terdahulu, wakil sekolah dijemput untuk melihat sendiri barangan berkenaan sebelum setuju kelengkapan itu digunakan di sekolah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara penerima kelengkapan daripada UTeM adalah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Nibong, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang, SK Gangsa, SK Seri Machap, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota, SK Bukit Lintang, SK Ujong Pasir serta Pertubuhan Darul Ikhlas Negeri Melaka.

Pada majlis itu sebanyak 32 aneka kek kreativiti dan inovasi khas bertemakan sambutan hari lahir Tun Dr. Mohd Ali disediakan Pusat Tanggungjawab (PTj) UTeM, persatuan-persatuan di bawah UTeM seperti PRAKTIS, KEKUTeM, UTeM Holdings Sdn Bhd dan Yayasan Tun Canselor.

Kek berkenaan diagihkan kepada Tadika dan Taska Awlad Imtiyyaz, UTeM, Maahad Tahfiz Darul Huda Durian Tunggal, Sekolah Rendah Islam Al-Munawwarah Durian Tunggal, Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah, Bukit Katil dan Pusat Tahfiz Al-Quran dan Al-Hadis Duyong.

Selain Pusat Tarbiyyah dan Dakwah Mahmudiyyah, Jambatan Duyong, Rumah Anak-anak Yatim/Miskin Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Tanjung Kling, Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Islam Paya Rumput, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ceria/Harapan, Bukit Baru dan Prakash Well Care Centre, Bukit Baru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

710
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS MAUT DIHEMPAP POKOK
Next post NURUL SYASYA ‘BERSINAR’ DI FIJI
Ubah saiz-+=