UTeM bangunkan pusat penyelidikan pembuatan bateri berskala kecil

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 27 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bakal menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang memiliki Pusat Penyelidikan pembuatan bateri berteknologi tinggi semasa dunia.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, usaha itu dijayakan menerusi pembangunan Pusat Penyelidikan bagi pembuatan bateri berskala kecil yang juga antara agenda utama dalam rangka kerjasama dengan The Scientific and Technological Research Council of Turkiye (Tubitak).

“UTeM dan Tubitak berhasrat merealisasikan kerjasama itu secara perkongsian kepakaran dalam penyelidikan berimpak dunia yang kini mendapat permintaan semasa dunia.

“Projek ini adalah tertumpu kepada penyelidikan gunaan dan pembuatan skala kecil bateri dan robotik untuk pemeriksaan saluran paip gas, kebocoran air serta hakisan paip,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya perkara itu diperincikan sewaktu lawatan pihak UTeM ke Gebze, Turki, baru-baru ini, yang diketuai oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Canselor UTeM.

Hadir sama pada lawatan itu Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi.

Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UTeM Holdings, Datuk Wira Sazali Muhd Din, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTeM, Ts Dr Suriati Akmal dan Penyelaras Pusat Antarabangsa UTeM, Dr Aimie Nazmin Azmi.

Massila berkata, langkah proaktif ini merupakan sebahagian agenda UTeM untuk terus menyerlah dalam penyelidikan dan inovasi dunia khususnya selain memberi kesan langsung pelaburan masuk buat Negeri Melaka dan Malaysia.

“Projek ini akan menjana impak berangkai secara langsung buat pelajar UTeM kerana mereka turut akan menggunakan peluang ini bagi mendalami teknologi yang melibatkan kejuruteraan tinggi proses pembuatan bateri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2036
Kongsi :
Previous post Eks Rembia: Uji tahap kesiapsiagaan agensi penyelamat
Next post Mangsa banjir di Alor Gajah kini 179 orang
Ubah saiz-+=