UTeM cipta sejarah tersenarai di QS 2024

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 5 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta sejarah apabila tersenarai antara sebuah universiti terbaik dunia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024.

Naib Canselornya Profesor Ts. Dr. Massila Kamalruddin berkata, pencapaian itu peroleh apabila UTeM disenaraikan dikedudukan ke 1,200-1,400 daripada 2,693 keseluruhan institusi yang dinilai dan secara tidak langsung menunjukkan komitmen menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek daripada UTeM.

Beliau berkata, pencapaian julung kali ini diperoleh menerusi inisiatif UTeM di peringkat global melalui kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan pelbagai bentuk kerjasama termasuk dengan institusi pengajian tinggi dan organisasi antarabangsa.

“Kami warga UTeM amat teruja dengan pencapaian membanggakan ini, ia terhasil daripada dedikasi dan kerja keras semua lapisan warga universiti termasuklah pelajar yang memastikan kedudukan ini berjaya dicapai.

“Justeru itu, UTeM beriltizam untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama ke beberapa negara lain termasuklah Turki, UAE, Jepun, Korea Selatan dan China serta negara Balkan lain,” katanya.

Menurut beliau, UTeM juga akan memperkukuhkan peranan sebagai universiti teknikal yang mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua peringkat.

“Usaha berterusan ini akan dipertingkatkan lagi dalam usaha bagi meningkatkan kedudukan UTeM dalam penarafan QS World University Rankings akan datang,” katanya.

Ujar Massila, UTeM mula mengemukakan data penilaian penarafan QS dan tersenarai buat pertama kali dalam penarafan QS Asia University Rankings 2020 dan kemuncak pencapaian ini apabila berjaya disenaraikan dalam penarafan tertinggi iaitu QS World University Rankings 2024 dalam tempoh lima tahun daripada penarafan peringkat Asia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post Melaka Halal Hub perkenal aplikasi dalam talian
Next post Tandas sekolah bertemakan animasi
Ubah saiz-+=