UTeM realisasi hasrat jadi Universiti Kesukarelawanan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 Dis – Hasrat Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk menjadi Universiti Kesukarelawanan kian tercapai dengan tertubuhnya Tuah Volunteer Team (TVT).

TVT di bawah naungan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM itu menampilkan 53 mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, antara tujuan utama penubuhan TVT UTeM adalah bagi menjalankan khidmat bantuan dan kesukarelawanan kepada pelajar mahupun masyarakat yang memerlukan.

Katanya, ia termasuklah mengedarkan pek makanan Food Bank Siswa UTeM kepada pelajar memerlukan, menolong urusan kemasukan pelajar ke kampus, gotong-royong serta membantu mereka yang terkesan dengan musibah seperti banjir dan sebagainya.

WARGA kerja dan mahasiswa UTeM

Beliau turut yakin, TVT UTeM ini berupaya melatih dan mendidik pelajar untuk menyuburkan semangat serta budaya kesukarelawanan, selain menyuntik nilai-nilai mulia dalam diri generasi muda masa kini.

“Marilah kita sama-sama berlumba-lumba melakukan kebaikan (fastabiqul khairat), bertolong menolong atas perkara kebajikan dan taqwa (birri wat taqwa), sambil memuji kecekalan semangat TVT ini terutama ketika membantu mangsa banjir baru-baru ini.

“Semoga aktiviti kesukarelawanan ini akan terus mendapat sambutan menggalakkan dari semua golongan, khususnya pelajar UTeM dalam memberi perkhidmatan terbaik demi kebajikan masyarakat dan semua,” katanya pada majlis pra pelancaran TVT, semalam.

Pasukan sukarelawan TVT yang diketuai Che Ku Azrizal itu telah dibekalkan pelbagai kelengkapan asas bagi melaksanakan aktiviti kesukarelawanan termasuk menerima sumbangan berjumlah RM2,500 daripada Yayasan Sukarelawan Siswa Malaysia baru-baru ini.

“Kami sudah bersedia untuk berkhidmat pada bila-bila masa diperlukan,” kata Che Ku Azrizal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Tiada keperluan pinda had minimum perkahwinan bagi perempuan
Next post Penternakan ikan tilapia air payau bakal hasilkan pulangan lumayan
Ubah saiz-+=