Tiada keperluan pinda had minimum perkahwinan bagi perempuan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam daripada 16 kepada 18 tahun setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata hal itu ditetapkan dalam Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bil. 1/2021 pada 22 Sept lepas setelah mengambil kira pandangan daripada negeri-negeri.

“Berdasarkan maklum balas dan pandangan yang diterima, kebanyakan negeri secara dasarnya bersetuju mengekalkan had umur sedia ada sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan P.Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain bagi membanteras perkahwinan bawah umur.

Menurut Idris, kerajaan telah mengambil langkah meneliti dan mengkaji cadangan supaya menaikkan umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

Kajian itu termasuk membentangkan cadangan tersebut dalam pelbagai forum yang melibatkan negeri seperti Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil memandangkan kuasa perundangan berkaitan perkahwinan orang Islam merupakan bidang kuasa negeri.

Selain itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Bilangan 1 Tahun 2018 yang berkuat kuasa pada 28 Sept 2018.

Berdasarkan statistik JKSM, jumlah kelulusan permohonan kahwin bawah umur orang Islam selepas tiga tahun pelaksanaan SOP itu menyaksikan pengurangan apabila 2,098 permohonan diluluskan dari 1 Sept 2018 hingga 31 Okt lepas, berbanding 2,885 dari 1 Sept 2015 hingga 31 Ogos 2018.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Tidak ada ‘double standard’ pesakit bersalin di Hospital Melaka – Rusdi
Next post UTeM realisasi hasrat jadi Universiti Kesukarelawanan
Ubah saiz-+=