UTeM, Sawipac jayakan pembangunan industri sawit negara

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama Sawipac Sdn Bhd bagi menjayakan agenda penyelidikan dalam bidang reka bentuk dan pembangunan mesin untuk kegunaan industri sawit negara.

Majlis memetrai perjanjian itu dihadiri Pengarah Urusan Sawipac, Neo Teck Siong, Penasihat Teknikal, Datuk Dr Abu Abdullah dan Pengarah Eksekutifnya, Neo Soon Lee di Bangunan Canselori kampus induk UTeM.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Dr Ghazali Omar berkata, sebagai universiti teknikal di Malaysia, UTeM sentiasa menyokong usaha kerjasama dan berkongsi kepakaran dengan pihak industri bagi memacu pembangunan negara khususnya dalam industri sawit.

“Projek kerjasama ini dari segi reka bentuk dan kajian projek dilaksanakan di AMC UTeM yang merupakan pusat khusus diwujudkan UTeM bagi menyemarakkan kerjasama penyelidikan berasaskan industri.

“Manakala bagi menjayakan projek ini, kumpulan khas dari UTeM dan Sawipac telah dibentuk dan diketuai Prof Dr Mohd Rizal Alkahari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah AMC, Prof Dr Hambali Arep @ Ariff berkata, AMC komited menjalankan projek berteraskan industri dan mengalukan kerjasama dengan industri dalam pelbagai aspek berkaitan.

“Ianya meliputi reka bentuk dan pembangunan berkaitan kejuruteraan seperti pemesinan, automasi, pembuatan aditif, kejuruteraan berbalik dan lain-lain selagi dapat memberi faedah kepada universiti dan pihak industri serta impak kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Teck Siong berkata produktiviti industri sawit berpotensi tinggi untuk ditingkatkan memandangkan aplikasi teknologi terkini dan tahap automasi masih pada tahap sederhana dalam industri tersebut.

“Sawipac Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang beroperasi di Kluang Johor mengendalikan kerja berkaitan kejuruteraan khususnya dalam sektor kelapa sawit merangkumi fabrikasi bagi bidang pembuatan mesin, komponen mesin, pengurusan dan latihan.

“Produk dari Sawipac bukan sahaja telah dipasarkan di Malaysia malah turut dieksport ke negara jiran seperti di Indonesia, Filipina, Thailand, dan juga negara lain di Asia dan Afrika,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1403
Kongsi :
Previous post Siasatan dakwaan rasuah projek MRT tiada kaitan dengan MRT Corp
Next post Kiosk kontemporari RM1.5 juta ganti Kafe Bas Klebang
Ubah saiz-+=