UTeM ‘top 5’ dalam negara, 106 terbaik dunia

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 Disember – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar kecemerlangan di pentas dunia apabila mencapai kedudukan 106 terbaik dalam UI GreenMetric (UIGM) World University Ranking bagi penarafan kampus paling hijau dan paling menyerlah kelestarian alam sekitar.

UIGM merupakan satu sistem penilaian kendiri dan sebagai pembuktian iltizam universiti untuk melestarikan alam sekitar yang disertai oleh institusi pengajian tinggi seluruh dunia.

Pada masa yang sama penilaian dalam UIGM juga seiring dengan pemetaan 17 matlamat dalam Sustainable Development Goals (SDG) bagi menilai aspek kemampanan atau kelestarian universiti.

Penilaian UIGM berdasarkan 51 petunjuk dalam 6 kriteria dalam UI GreenMetric World University Rankings iaitu tetapan dan infrastruktur (SI), tenaga dan perubahan iklim (EC), sisa dan kitar semula (WS), air (WR), pengangkutan (TR) dan pendidikan (ED).

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, ia merupakan kejayaan berprestij dan berganda buat UTeM yang mana bukan hanya pada ukuran kedudukan tetapi juga dalam aspek kemampuan UTeM melonjak kedudukan.

Katanya, UTeM mula menyertai UIGM pada tahun 2016 dan berada pada kedudukan ke 269 daripada 516 universiti yang dinilai dan dalam tempoh 7 tahun UTeM terus cemerlang mencapai kedudukan terkini pada tangga ke 106 daripada 1,183 universiti yang dinilai.

“Menariknya pencapaian ini turut melonjakkan kedudukan UTeM pada kedudukan 5 terbaik universiti paling lestari dan hijau di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas strategi lonjakan UTeM bagi pencapaian kedudukan tersebut, Massila berkata, UTeM telah melaksanakan beberapa pelan pembangunan program pemuliharaan kehijauan UTeM bagi memberi nilai tambah kepada kriteria SI.

“Kami turut menggubal beberapa dasar dan peraturan yang berkaitan dengan pengurusan sisa dan air yang lebih sistematik di samping melaksanakan program dan aktiviti yang menyokong dan bertepatan kriteria EC sebagai contohnya pemasangan solar di Kampus UTeM.

“Pada masa yang sama UTeM turut mengadakan lawatan ukur takat perbandingan ke beberapa buah universiti yang mempunyai amalan terbaik dalam UIGM,” katanya.

Jelas Massila, kejayaan itu tentunya memberikan impak langsung kepada UTeM dalam perspektif keterlihatan di pentas global bagi pembudayaan amalan hijau.

“Pada masa sama merefleksikan betapa tingginya komitmen UTeM dalam melaksana dan menjayakan aktiviti serta program yang sesuai bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar secara berterusan.

“Sehubungan dengan itu, penjajaran UIGM dengan 17 SDG menunjukkan aktiviti dan program yang dirangka dan dilaksana oleh UTeM seiring dengan keperluan dalam agenda kemampanan negara dan dunia,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2327
Kongsi :
Previous post Karnival Upin dan Ipin sasar 300,000 pengunjung
Next post Kampung Digital bergerak mukim ke mukim
Ubah saiz-+=