UTeM, University of Galati Romania kukuh kerjasama
AYER KEROH 18 Oktober – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan usaha memperkasakan aktiviti penyelidikan dan mobiliti pelajar antara Asia serta Eropah menerusi rakan stategiknya ‘Dunarea de Jos’ University of Galati (DJUG) Romania.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara UTeM diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin manakala DJUG diwakili Rektornya Prof Puiu Lucian Georgescu bertempat di Galati.
Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM, Profesor Ts. Dr. Noreffendy Tamaldin dan Timbalan Rektor DJUG, Prof Elena Mereuta.
Prof Massila berkata, DJUG merupakan rakan strategik pertama UTeM dari Romania dan hubungan dua hala ini dilihat mampu menyerlahkan kerjasama hebat dalam konteks penyelidikan dan inovasi.
“Aktiviti memperkasakan mobiliti pelajar juga akan diperkasa memandangkan DJUG adalah salah sebuah universiti di Eropah yang mempunyai pembiayaan Erasmus+ untuk program mobiliti pelajar.
“Sementara itu, jalinan kerjasama ini turut mengangkat imej dan prestij UTeM di peringkat dunia terutama dalam konteks kecemerlangan akademik.
“Hal yang demikian, menerusi pertukaran kursus dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, pengurusan teknologi dan teknousahawan serta bidang-bidang lain yang berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut beliau berkata, hubungan kerjasama ini bakal memberikan impak kepada pendidikan berkualiti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan kerjasama global di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pendidikan Berkualiti serta SDG17 Rakan Kerjasama untuk Matlamat.
Tamat/Habis/End
Caption:
Pic 1 & 2: Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama “Dunarea de Jos” University of Galati (DJUG) Romania bertempat di sana, baru-baru ini.
Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi:
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.