UTeM zahir semangat cintakan negara

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menzahirkan semangat kemerdekaan menerusi pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat universitinya, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof Dr Massila Kamalrudin berkata keluarga UTeM sentiasa prihatin dalam memartabatkan kemerdekaan negara yang kini sudah berusia 65 tahun.

Katanya, biarpun program itu diadakan secara ringkas, namun beliau yakin semangat patriotisme dan cintakan negara sentiasa terpahat di dalam hati sanubari warga UTeM.

“Saya harap warga UTeM lebih memahami dan menghayati erti kemerdekaan serta mendalami maksud tema kemerdekaan pada kali ke-65 iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

“Tema ini sangat bersesuaian dengan konsep kesepaduan yang disematkan dalam kalangan ahli keluarga UTeM, pada masa sama memastikan UTeM berada di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Massila turut menyeru warga UTeM agar sentiasa bersatu dan bersama menggembleng tenaga seperti kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

“Kempen kibar Jalur Gemilang ini merupakan antara program daripada beberapa siri aktiviti patriotik dan kenegaraan yang diadakan di UTeM sempena sambutan kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September depan,” katanya.

Pada program itu Dr Massila bersama pengurusan tertinggi UTeM turut menampal Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi universiti termasuk kereta pegawai pengurusan tertinggi, kenderaan rasmi Pejabat Keselamatan dan ambulans Pusat Kesihatan UTeM.

Program itu anjuran Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) UTeM yang dihadiri barisan pengurusan tertinggi, pegawai kanan serta kakitangan UTeM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1480
Kongsi :
Previous post Polis tumpas sindiket dadah hampir RM11 juta
Next post Parkir berpusat Hospital Melaka mula operasi Nov – Exco
Ubah saiz-+=