Vaksinasi: Guru, AKP dan pekerja sokongan diminta ambil tindakan segera

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima janji temu dos pertama vaksin atau mendaftar bagi menerima vaksin diseru supaya mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksin masing-masing.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini berikutan keputusan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memperluas inisiatif pemberian vaksin secara jumpa terus atau ‘walk-in’ ke seluruh negara untuk kumpulan khas yang turut membabitkan guru, AKP dan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Melalui kerjasama rapat KPM dan CITF, guru, AKP dan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah bawah KPM adalah antara kumpulan khas yang disenaraikan.

“Perincian mengenai pemberian vaksin secara ‘walk-in’ bagi kumpulan khas sekolah di bawah KPM, termasuk keperluan dokumen sokongan, akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook sambil berkongsi kenyataan media CITF hari ini.

Beliau berkata usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiat melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF.

Menurut kenyataan CITF hari ini, inisiatif vaksinasi secara ‘walk-in’ yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang akan diperluas ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam di seluruh negara untuk golongan khas dalam masa terdekat.

CITF memaklumkan vaksinasi jumpa terus tanpa janji temu itu dikhususkan untuk kumpulan tertentu iaitu warga emas, orang kurang upaya, individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua serta guru, AKP dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan KPM.

Radzi berkata mengikut rekod KPM, seramai 352,649 guru (85.41 peratus), 52,256 AKP (77.69 peratus) dan 54,930 pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas/van sekolah (46.64 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin setakat hari ini.

Katanya bagi guru kelas peperiksaan pula, seramai 84,995 orang (94.89 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Olimpik 2020: “Doakan kejayaan saya bawa pulang pingat emas” – Azizulhasni
Next post Polis ‘hidu’ rancangan perhimpunan jalanan 21 Ogos
Ubah saiz-+=