Vaksinasi secara ‘walk – in’ warga emas di Lembah Klang bermula esok

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PUTRAJAYA 16 Julai – Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh jumpa terus (walk-in) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang mulai esok (17 Julai), untuk menerima suntikan COVID-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kaedah tersebut hanya dikhususkan kepada golongan warga emas yang sehingga kini masih belum menerima tarikh janji temu suntikan vaksin COVID-19.

“Warga emas yang hadir akan dibenarkan masuk ke PPV menggunakan laluan khas yang disediakan,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Pelaksanaan kaedah vaksinasi secara jumpa terus bagi warga emas berusia 60 ke atas itu diumumkan oleh Dr Adham dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan, semalam.

Memperincikan perkara itu, Khairy berkata petugas di PPV akan mendaftarkan warga emas berkenaan secara manual sekiranya mereka belum mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Petugas PPV juga akan mendapatkan maklumat waris atau keluarga untuk dihubungi bagi tujuan peringatan vaksinasi dos kedua, katanya.

Bagaimanapun, Khairy mengingatkan warga emas yang telah diberikan tarikh janji temu agar tidak datang ke PPV secara jumpa terus bagi mendapatkan vaksinasi sebaliknya menunggu tarikh ditetapkan.

“Kaedah ‘walk-in’ ini hanya untuk warga emas yang belum menerima tarikh janji temu sahaja. Yang sudah terima tarikh melalui MySejahtera, sila ikut tarikh ditetapkan. Saya beri jaminan, mereka akan terima suntikan dos pertama sebelum 1 Ogos ini,” katanya.

Kira-kira 2.68 juta warga emas telah mendapat sekurang-kurangnya suntikan dos suntikan vaksin COVID-19 melalui fasa kedua PICK yang dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah komorbid selain Orang Kurang Upaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post Kelonggaran terhadap individu lengkap vaksinasi diketahui tidak lama lagi
Next post Murid tahun lima maut disengat tebuan
Ubah saiz-+=