Varian Afrika Selatan di Melaka dari kluster pusat hiburan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUKIT KATIL 5 Jun – Penularan Varian Afrika Selatan atau varian Beta (B.1.351) yang dikesan di Melaka dipercayai membabitkan seorang individu yang mendapat jangkitan COVID-19 dari sebuah pusat hiburan di Melaka Raya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman bagaimanapun berkata, penularan varian itu masih lagi terkawal dan buat masa ini hanya satu individu sahaja dari Kluster Jalan Pokok Mangga dikesan terbabit dengan varian berkenaan.

Begitupun, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan terus memantau perkembangan varian berkenaan untuk memastikan ia tidak merebak di dalam komuniti.

“KKM telah mengesahkan kewujudan varian ini di Melaka dan inilah yang kita risaukan apabila varian baharu yang lebih berbahaya sudah ada di negeri ini.

“Tetapi apapun, kita dapat maklumat hanya seorang sahaja yang dikesan mempunyai varian itu dan individu berkenaan sudah pun pulih dan situasi kluster itu juga kini terkawal.

“Apapun, kita akan terus mengadakan pemantauan lanjut berhubung kluster ini, dan pada masa sama turut memantau lebih 60 kluster yang mungkin terjadi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr. Ismail Ali.

Untuk rekod, Kluster Jalan Pokok Mangga mula dikesan di Melaka pada 22 April lalu hasil saringan individu bergejala.

Mengikut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, kes indeks dikesan positif COVID-19 selepas berjumpa dengan kes positif yang datang dari Kuala Lumpur ke negeri ini.

Jangkitan itu kemudiannya menular dalam kalangan kontak rapat sosial dan kontak tempat kerja yang melibatkan dua buah pusat hiburan di Melaka.

Setakat hari ini, seramai 30 individu telah dikesan positif COVID-19 daripada kluster berkenaan dan kluster itu dijadual tamat pada 7 Jun memandangkan tiada lagi kes baharu direkodkan.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

429
Kongsi :
Previous post Melaka tambah lagi lapan PPV
Next post NPRA lulus satu lagi vaksin COVID-19 untuk ujian klinikal
Ubah saiz-+=