Varian Afrika Selatan sudah ‘tiba’ di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

PUTRAJAYA 5 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu kes varian Afrika Selatan atau kini dikenali varian Beta (B.1.351) dikesan di Melaka setakat ini.

KKM dalam satu kenyataan berkata, varian itu dikesan membabitkan kes dari Kluster Jalan Pokok Mangga di daerah Melaka Tengah hasil ujian survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 yang dijalankan dari 24 Mei hingga 4 Jun.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 19 kes varian baharu telah dikesan di seluruh negara yang mana empat daripadanya ialah varian India atau kini dikenali sebagai varian Delta (B.1.617.2) dan 15 lagi membabitkan varian Beta (B.1.351).

“Kes baharu varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India adalah sebanyak tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan dan satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kesemua tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang merupakan kes-kes dari kluster Layangan Labuan. Manakala satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan.

“Bagi 15 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dahulunya dikenali sebagai varian Afrika Selatan pula, sebanyak enam kes dilaporkan di Johor, lima kes di Kelantan serta masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu. Kesemua kes adalah merupakan jangkitan tempatan,” kata kenyataan tersebut.

Tambah KKM, setakat 4 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 138 kes.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

“Daripada 122 VOC yang direkodkan, 104 kes adalah membabitkan varian Beta (B.1.351), manakala masing-masing sembilan kes direkodkan daripada varian Delta (B.1.617.2) dan varian Alpha (B.1.1.7) atau dahulu dikenali sebagai varian United Kingdom.

“Manakala bagi VOI pula, sebanyak 12 kes adalah varian Theta (P.3), tiga kes varian Eta (B.1.525); dan satu kes membabitkan varian Kappa (B.1.617.1),” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan amalan mengenali varian mengikut negara ia mula ditemui akan dihentikan selaras dengan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Oleh itu, kesemua varian COVID-19 kini akan menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik berkenaan.

“KKM juga akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes, serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini dalam komuniti,” tambah kenyataan itu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Awas penipuan pelaburan menyamar sebagai institusi sah
Next post TYT lawat PPV Dewan Tun Ali sempena ulang tahun
Ubah saiz-+=