Varian Delta di Melaka disyaki sudah menular dalam komuniti

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER MOLEK 2 Julai – Varian Delta (B.1.617.2) atau dahulu dikenali sebagai varian India di Melaka yang dikesan menerusi persampelan yang dijalankan dari 23 hingga 30 Jun lalu disyaki sudah menular dalam komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia berikutan satu kes varian berkenaan yang dikesan di Kluster Bukit Godek, mukim Semabok tidak mempunyai sejarah perjalanan merentas negeri atau menjadi kontak rapat kes sebelum ini.

Menurutnya, kes indeks yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat di Taman Merdeka, hanya mempunyai sejarah perjalanan berulang-alik dari rumahnya di Kampung Bukit Godek ke tempat kerja, selain dikesan menghadiri majlis pernikahan adiknya pada 31 Mei.

Jelasnya lagi, kes berkenaan yang pada awalnya hanya mengesan 66 orang kontak rapat kini telah meningkat terlalu cepat sehingga merebak ke generasi keempat dan merekodkan 93 kes positif COVID-19 setakat semalam.

“Jangkitan kes ini masih disiasat sama ada mendapat jangkitan dari tempat kerja iaitu syarikat pembersihan atau mungkin daripada perjumpaan keluarga.

“Namun, besar kemungkinan ia mendapat jangkitan daripada komuniti iaitu sporadik. Ia bermakna varian ini sudah ada dalam komuniti,” katanya ketika ditemui di Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan kes indeks daripada Kluster Bukit Godek mempunyai gejala seperti demam, sakit kepala, selsema dan batuk pada 7 Jun dan dikesan positif pada 10 Jun menerusi ujian RTK di sebuah klinik kesihatan sebelum menjalani ujian PCR pada 12 Jun dan disahkan positif.

Menurutnya lagi, kluster berkenaan tidak hanya merekodkan kes di Kampung Bukit Godek, bahkan menerusi saringan kontak rapat yang dijalankan terdapat juga kes positif dikesan di Telok Mas, Bukit Lintang, Pulau Gadong dan satu kes membabitkan pekerja di sebuah restoran makanan segera di Semabok.

“Langkah-langkah kawalan dan pencegahan awal telah dilakukan termasuk melakukan sanitasi di tempat kerja, rumah dan restoran berkenaan pada 15 Jun lalu.

“Orang ramai dinasihati agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di tempat awam, terutamanya pemakaian pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan memandangkan varian Delta ini boleh merebak dengan cepat,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post Kelonggaran SOP: Kerajaan kaji data COVID-19
Next post Tiga hospital swasta Melaka dijadikan PPV awam bermula 5 Julai
Ubah saiz-+=