Tiga hospital swasta Melaka dijadikan PPV awam bermula 5 Julai

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER MOLEK 2 Julai – Melaka bakal membuka tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di hospital swasta yang dikhususkan untuk vaksinasi orang awam dalam usaha mempercepatkan vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tiga hospital swasta itu adalah Hospital Pantai di Ayer Keroh, serta Mahkota Medical Centre dan Southern Eye Clinic Specialist Centre di Melaka Raya yang akan dibuka bermula Isnin ini.

Jelasnya, untuk ketiga-tiga hospital swasta itu sebanyak 350 dos akan dibekalkan setiap hari bagi memberikan suntikan kepada orang awam yang bakal menerima notifikasi menerusi aplikasi MySejahtera.

“Buat masa ini, kita telah meluluskan pemberian 200 dos sehari kepada Mahkota Medical Centre atau bersamaan 1,000 dos seminggu.

“Hospital Pantai pula akan dibekalkan 100 dos sehari atau 500 dos seminggu, manakala Southern Eye Clinic Specialist Centre pula akan menerima 50 dos vaksin sehari atau bersamaan 250 seminggu.

“Kesemua PPV hospital swasta yang akan dikhususkan untuk orang awam ini akan beroperasi lima hari seminggu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat sebuah lagi PPV hospital swasta di negeri ini yang akan membantu proses vaksinasi membabitkan orang awam yang dijangka dibuka pada 12 Julai ini.

Jelasnya, PPV berkenaan ialah Oriental Melaka Straits Medical Centre yang mampu memberikan 100 dos suntikan setiap hari atau 500 dos untuk seminggu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1222
Kongsi :
Previous post Varian Delta di Melaka disyaki sudah menular dalam komuniti
Next post PPV industri di Melaka perlu mohon vaksin sendiri
Ubah saiz-+=