PPV industri di Melaka perlu mohon vaksin sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 2 Julai – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri yang dikhususkan untuk pekerja industri dan kilang perlu memohon bekalan vaksin sendiri kepada Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan itu dibuat bagi memastikan bekalan vaksin yang diterima negeri pada ketika ini tidak dicampur-adukkan dengan keperluan industri.

Beliau berkata, sejumlah 368,000 bekalan vaksin yang akan diterima untuk Julai diharap dapat difokuskan kepada keperluan orang awam di negeri ini, sekali gus mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berjalan ketika ini.

“Ketetapan di peringkat negeri ialah supaya PPV industri jangan ganggu bekalan vaksin yang dikhususkan untuk orang awam.

“Menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), kita telah minta agar PPV industri mendapatkan bekalan vaksin mereka sendiri dengan memohon kepada CITF.

“Itu harapan kita, kerana kalau boleh kita sasarkan lebih ramai orang awam akan menerima vaksin pada bulan ini sekali gus mencapai sasaran imuniti berkelompok lebih awal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad berkata, setakat ini sebanyak tiga PPV industri di negeri ini akan dibuka bermula 10 Julai depan iaitu membabitkan Kilang Infineon dan Kilang Texas Instrument di Batu Berendam serta Bayou Lagoon Resort di Bukit Katil.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan setakat semalam, seramai 178,352 individu di Melaka telah menerima suntikan vaksin dos pertama, manakala seramai 68,189 telah menerima suntikan vaksin dos kedua.

“Ia menjadikan pencapaian vaksin kita kini telah mencapai 14.8 peratus mengikut populasi bagi dos pertama, manakala bagi dos kedua telah mencapai 7.3 peratus.

“Kita memerlukan kira-kira 2.3 peratus sahaja lagi untuk mencapai sasaran 10 peratus populasi rakyat yang lengkap divaksinasi,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post Tiga hospital swasta Melaka dijadikan PPV awam bermula 5 Julai
Next post ‘Saya akan hantar laporan ke Putrajaya’ – Norhizam
Ubah saiz-+=