Wanita maut kereta jatuh cerun

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

REMBIA 11 Julai – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke bawah cerun bukit di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Rembia, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.00 pagi itu, mangsa Nuranissa Abdu Aziz @ Abdul Aziz, 29 yang bekerja di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.45 pagi dan menggerakkan anggota ke lokasi kemalangan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia sedang dalam perjalanan menuju ke Alor Gajah sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan jatuh ke cerun bukit di sebelah kiri jalan.

“Siasatan awal di tempat mendapati lokasi kemalangan ialah di jalan dua lorong, menurun bukit dan berselekoh manakala keadaan cuaca ketika itu adalah hujan.

“Tiada sebarang kesan tayar dan kesan geseran ditemui di tempat kejadian.

“Saksi bebas diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala kenderaannya ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7831
Kongsi :
Previous post Pemandu, penumpang selamat pokok hempap kereta
Next post OOTD di ‘Maldives of Melaka’
Ubah saiz-+=