
WANITA RUGI RM600,000 TERPERDAYA PELABURAN DALAM TALIAN
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata mangsa berusia 55 tahun yang juga pesara kerani sebuah syarikat di Bukit Minyak, di sini mula terperdaya selepas melihat iklan berkaitan pelaburan itu menerusi Facebook Mei lepas.
“Mangsa menekan pautan dipaparkan dalam Facebook itu dan berhubung dengan suspek lelaki melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa kemudian dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa ditawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa singkat bergantung kepada jumlah modal dilaburkan dan diminta memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan untuk mendaftar sebagai ahli serta melabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada 11 Julai lepas, mangsa telah melakukan enam transaksi wang ke dalam enam akaun syarikat berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM600,000Â dan kemudian menyedari telah ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan dalam aplikasi itu.
Mohd Alwi berkata wanita terbabit turut diminta membuat bayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini semalam.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan dengan itu, polis mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan luar biasa dalam tempoh singkat kerana skim pelaburan sebegini sangat berisiko dan berpotensi sebagai modus operandi penipuan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.