Wanita, teman lelaki mengaku bersalah dera anak kandung berusia lima tahun

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 25 Ogos – Seorang wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana mendera anak perempuannya berusia lima tahun di sebuah rumah di Banda Hilir, dua minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan, Tan Meei Yun, 30, dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, didakwa bersama-sama mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Champor Garden City, Bandar Hilir, dekat sini, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad yang melakukan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun kedua-dua tertuduh memohon dilepaskan dengan jaminan rendah kerana tiada pendapatan tetap selain mahu sabitan hukuman itu dipercepatkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan kedua-duanya tidak mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran dan menetapkan 29 September depan untuk fakta dan hukuman.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan polis menahan sepasang kekasih dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kejadian di sebuah pangsapuri, dekat sini, kelmarin.

Tertuduh, Chua Wai Hon, 38 (berpakaian kemeja merah) diiringi polis keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah mencederakan kanak-kanak perempuan di Bandar Hilir, 14 Ogos lalu.

Tertuduh, Tan Meei Yun, 30 (berpakaian coklat) diiringi polis keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah mencederakan anak kandungnya di Bandar Hilir, 14 Ogos lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

651
Kongsi :
Previous post Kesilapan teknikal jejaskan aksi sulung Nur Syaiful di Paralimpik Tokyo
Next post Ahmad Zahid sakit, bicara kes rasuah tangguh 1 September depan
Ubah saiz-+=