Warga emas 101 tahun antara korban COVID-19 di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 8 Jun – Seorang warga emas berusia 101 tahun menjadi antara korban tertua COVID-19 di negeri ini.

Mengikut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, wanita dari Bukit Katil yang lumpuh itu sebelum ini mempunyai gejala demam dan batuk pada 28 Mei lalu dan disahkan meninggal dunia hari ini akibat ‘COVID-19 Pneumonia with advance age and Acute kidney injury’.

Selain itu, JKN Melaka memaklumkan terdapat pertambahan tiga lagi kematian membabitkan warga emas berusia lingkungan 70 hingga 78 tahun pada hari ini menjadikan keseluruhan 94 korban akibat COVID-19 telah direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu, data harian COVID-19 di Melaka kembali menunjukkan peningkatan apabila 314 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 178 semalam.

Daripada jumlah itu, 151 kes direkodkan daripada kluster aktif, 140 melibatkan kontak rapat kes positif dan baki 23 lagi daripada lain-lain jangkitan.

Mengikut kenyataan itu, kes tertinggi direkodkan membabitkan kluster industri iaitu 107 kes positif direkodkan daripada Kluster Industri Batu 16 Bemban, 26 membabitkan Kluster Industri Batu Berendam dan lima daripada Kluster Industri Pengkalan Balak.

Selain itu, pertambahan kes positif harian turut disumbangkan Kluster Jalan Usaha Tujuh dengan tiga kes, Kluster Batu Lapan Bukit Rambai (satu kes), Kluster Terendak Permai (tiga kes), Kluster Jalan Semabok (dua kes) dan Kluster Jalan Tanjung Minyak (empat kes).

Sehingga kini, seramai 2,086 individu masih dirawat dengan 50 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 20 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post JKN nafi pekerja kilang elektronik Batu Berendam pakai gelang pink dibenar bekerja
Next post Pembangkang perlu lebih realistik – Mohd Rafiq
Ubah saiz-+=