
AKADEMI LAUT MALAYSIA DINAIK TARAF KEPADA KOLEJ UNIVERSITI TAHUN INI
KUALA LINGGI 25 April – Selepas lebih empat dekad Akademi Laut Malaysia (ALAM) akan dinaik taraf kepada kolej universiti, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Berkongsi khabar gembira itu Ketua Menteri berkata, perkembangan itu secara tidak langsung mengiktiraf peranan ALAM sebagai sebuah institusi kemahiran maritim negara yang sudah melahirkan ribuan pelaut profesional kini berkhidmat di sektor awam, pertahanan, keselamatan dan swasta termasuk syarikat ternama dunia.
Malah Ketua Menteri membayangkan naik taraf daripada akademi kepada Kolej universiti adalah antara langkah utama bagi ALAM untuk menuju ke arah sebuah universiti penuh pada masa akan datang.
“ALAM sudah berjaya memperoleh kelulusan untuk dinaik taraf kepada kolej universiti daripada Kementerian Pengajian TInggi, perkara itu sedang dalam proses dan insya-Allah akan direalisasikan dalam tahun ini juga.
“Selama lebih empat dekad, ALAM bukan sekadar sebuah institusi latihan…Tetapi menjadi nadi utama dalam melahirkan lebih 15,000 tenaga mahir dalam pelbagai bidang maritim,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Hari Terbuka ALAM 2026 di kampus institusi kemahiran itu di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi MISC merangkap Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Maritime Academy Sdn Datuk Abu Huraira Abu Yazid; Pegawai Eksekutif Kumpulan Misc Ismaida Zamri Ismail, Ketua Eksekutif ALAM Prof Emeritus Dato’ Dr. Abu Abdullah, barisan pengurusan serta kakitangan ALAM.
Beliau berkata, dalam memenuhi keperluan tenaga mahir ALAM memainkan peranan yang amat signifikans ebagai institusi latihan utama dalam industri maritim negara.
“Sepanjang tempoh ini juga, ALAM berperanan sebagai rakan latihan strategik kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekali gus menyokong aspek keselamatan dan pertahanan negara.
“Saya yakin, dengan kekuatan tenaga pengajar, pengalaman industri serta pengiktirafan sebagai kolej universiti nanti, ALAM akan terus melahirkan generasi profesional maritim yang kompeten, Berdaya saing dan mampu berdiri sama tinggi dengan pemain industri maritim di peringkat global,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


