Warga emas hilang, keluar rumah sejak seminggu lalu

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SEREMBAN, 28 Nov – Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Sikai, Gunung Pasir, Seri Menanti dekat sini sejak 22 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata pihaknya menerima laporan memaklumkan kehilangan Abu Zahrin A. Hassan, 67, sehari kemudian, daripada adiknya Norliza A.Hassan, 53, yang tinggal berdekatan.

“Kita masih menjalankan pencarian mangsa yang dipercayai kurang sihat mental dan ingatan kurang baik itu dengan dibantu keluarga dan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. Maklumat awal kita dapat dia memang sering keluar tetapi akan balik semula namun kali ini tidak pulang sudah tujuh hari.

“Kita dimaklumkan ada penduduk nampak lelaki itu di Kampung Sikai dua hari lepas namun apabila anggota kita membuat pencarian, warga emas itu masih gagal ditemukan, tiada unsur jenayah dalam kes ini. Polis masih giat lakukan pencarian yang bertumpu di daerah ini,” katanya.

Norliza berkata kehilangan abangnya itu hanya disedari ketika mahu mengajaknya untuk makan malam selepas Isyak.

“Siang saya bekerja, jadi, tidak sedar dia tiada di rumah. Dia tinggal sendirian di rumah arwah mak, saya menjaganya, ketika saya panggil untuk makan tiada sahutan, rumah pun gelap. Dia memang selalu keluar untuk cari makan, tapi akan balik, orang kampung kenal dan kadang-kadang ada hantar dia balik.

“Kami bimbang sebab dia ada masalah mental sikit, jalan pun tak gagah, pakai tongkat tapi baik dan tak kacau orang, tak banyak bercakap. Baru-baru ini anak lelakinya daripada enam beradik meninggal dunia, saya takut mungkin dia masih bersedih, semoga dia ditemukan selamat,” katanya.

Norliza turut berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada melihat mangsa untuk segera melaporkan pada balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 013-6555548. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1831
Kongsi :
Previous post Bapa maut, anak parah dirempuh lori ketika tukar tayar kereta
Next post 200 unit pangsapuri mampu milik di Kuala Sungai Baru
Ubah saiz-+=