Bapa maut, anak parah dirempuh lori ketika tukar tayar kereta

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

JASIN 28 November – Bapa maut, manakala anaknya cedera parah akibat dirempuh lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 179.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian, jam 9.30 pagi itu, Khaidzir Zainuddin, 59 tahun yang bekerja sebagai kontraktor meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, anak mangsa, Muhammad Ashraf, 22 tahun, yang patah tulang rusuk dibawa ke Hospital Tangkak, Johor untuk rawatan lanjut.

“Sebelum kejadian, kedua-dua beranak terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor sebelum tayar keretanya pancit ketika tiba di lokasi.

“Ketika dua beranak terbabit sedang berkemas selepas selesai menukar tayar, sebuah lori tunda yang berhenti di belakang kereta mangsa dilanggar oleh sebuah lagi lori yang datang dari arah sama.

“Perlanggaran itu menyebabkan lori tunda terbabit melanggar kedua-dua mangsa yang berada di bonet kereta Mercedes Benz milik mereka menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke tepi lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IMG-20221128-WA0011
MAYAT mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat. Foto: Ihsan Polis Jasin

Menurut Mispani, pemandu lori tunda terbabit turut cedera apabila dikatakan termasuk ke bawah lori berkenaan.

Katanya, mayat kontraktor terbabit dibawa ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.

“Pemandu lori terbabit turut dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut yang mana dia bersama anak mangsa yang maut kini dilaporkan stabil,” katanya.

Mengulas lanjut, Mispani berkata, pemandu lori berusia 37 tahun, yang merempuh lori tunda tersebut akan direman di Mahkamah Majistret Jasin, esok selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Tambah Mispani, nahas berkenaan adalah yang kedua berlaku di kilometer sama kira-kira lima jam sebelum itu yang membabitkan sebuah bas ekspres dan treler pada jam 4 pagi tadi.

Jelasnya, namun kemalangan berkenaan membabitkan arah berbeza.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

13043
Kongsi :
Previous post Tiga ditahan terbabit judi bola sepak
Next post Warga emas hilang, keluar rumah sejak seminggu lalu
Ubah saiz-+=