Warna masjid, surau dan balai raya diseragamkan tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BEMBAM 29 Julai – Warna bangunan masjid, surau dan balai raya di negeri akan diseragamkan dan dilaksanakan secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata perkara itu telah diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.

Katanya, menerusi mesyuarat berkenaan, semua warna bangunan masjid dan surau serta balai raya akan diselaraskan kepada warna ‘universal’ supaya ia mencerminkan keseragamanan warna di seluruh negeri.

“Semua masjid, surau balai raya sama ada yang baharu ataupun lama, kita akan menggunakan skim warna sama iaitu lebih kepada warna ‘universal’.

“Akan ada dua tiga tona warna seperti kelabu. Ada sesetengah masjid atau surau mempunyai warna bumbung berbagai warna jadi apabila kita seragamkan warna itu, bumbung itu berpadanan dengan warna ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) ketika melawat tapak pembinaan Masjid Bemban yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman.

Roslan berkata, meskipun terdapat beberapa bangunan baharu yang masih dalam pembinaan sudah mempunyai spesifikasi warna yang ditetapkan, namun pihaknya mengarahkan keseragaman warna itu diguna pakai apabila siap sepenuhnya.

“Maknanya, masjid, surau mahupun balai raya yang baharu walaupun masih dalam pembinaan, kita minta supaya rujuk balik warna yang diputuskan supaya tidak perlu buat (kerja mengecat semula) dua kali.

“Bagi bangunan sedia ada, pertukaran warna akan dilakukan peringkat demi peringkat dan dari segi pelaksanaan, kerja-kerja mengecat semula itu akan dilaksanakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) mengikut daerah masing-masing.

“Bagi pembinaan baharu, kita memang dah mulakan, bagi bangunan yang sedia ada, kita akan laksanakan secara peringkat untuk penukaran warna,” katanya.

Views:

720
Kongsi :
Previous post Manfaat kepada golongan sasar akan diperincikan
Next post Proton perluaskan rangkaian pengurusan kereta terpakai
Ubah saiz-+=