Yuran penginapan pelajar baharu UNIMEL ditaja selama setahun

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 19 Disember – Kerajaan Negeri bakal menanggung yuran penginapan pelajar baharu daripada keluarga B40 yang berdaftar di Universiti Melaka (UNIMEL) selama setahun bermula tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu merupakan antara formula baharu dalam menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di universiti tersebut.

Ketua Menteri berkata, beliau turut menyasarkan hampir 5,000 pelajar baharu bakal berdaftar dengan UNIMEL dalam tempoh tiga bulan akan datang selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.

“Formula baharu perlu dilakukan di UNIMEL untuk menarik minat anak muda menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan menanggung yuran penginapan selama setahun kepada pelajar baharu. Pelajar duduk percuma dan itu hanya diberikan kepada pelajar baharu dalam kalangan B40 yang berdaftar di UNIMEL.

“UNIMEL akan dijadikan sebagai gedung ilmu yang memberikan peluang kepada anak-anak B40 untuk menuntut ilmu dan formula ini sedang diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi UNIMEL, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya, Rosli Abdullah.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara merangkap Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Senator Datuk Mustafa Musa; Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Masrul Faizal Mohamad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata langkah tersebut bakal menjadikan UNIMEL sebagai universiti pertama yang memberikan peluang kepada anak-anak B40 dengan menyediakan kemudahan percuma.

“Saya yakin formula baharu ini akan menambah jumlah pelajar. Hal ini kerana saya percaya kuantiti pelajar itu akan berubah bergantung bagaimana pengurusan universiti itu sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1786
Kongsi :
Previous post UNIMEL jadi Pusat Rujukan Penyembelihan ikut syariat Islam
Next post Percepatkan loji WTE di Sungai Udang
Ubah saiz-+=