UNIMEL jadi Pusat Rujukan Penyembelihan ikut syariat Islam

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 18 Disember – Universiti Melaka (UNIMEL) akan memohon pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjadi Pusat Rujukan Penyembelihan mengikut syariat Islam.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, UNIMEL akan menyusun semula rukun-rukun dalam syariat Islam untuk dijadikan silibus pembelajaran berkaitan penyembelihan yang boleh menjadi satu lagi cabang baharu dalam bidang pengajian tinggi.

Katanya, UNIMEL akan turut menganjurkan kursus jangka pendek dalam bidang berkenaan yang disifatkan mempunyai permintaan tinggi di pasaran dalam dan luar negara.

“Selepas kita memohon pengiktiraf daripada JAKIM sebagai pusat rujukan penyembelihan, UNIMEL turut merancang untuk memasarkan pelajar kursus jangka pendek itu (penyembelihan) ke seluruh negara mengikut permintaan pasaran.

“Hal ini kerana, banyak negara luar memerlukan tenaga mahir untuk penyembelihan bertauliah serta mempunyai sijil halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi UNIMEL, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya, Rosli Abdullah.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara merangkap Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Senator Datuk Mustafa Musa; Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Masrul Faizal Mohamad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sebuah kilang ayam di Masjid Tanah yang merupakan antara terbesar di Negeri Melaka boleh dicadangkan untuk menjadi pusat pembelajaran bagi silibus berkenaan.

“Di Masjid Tanah ada sebuah kilang ayam yang besar. Saya mencadangkan untuk menjadikan kilang terbabit sebagai pusat latihan penyembelihan bukan sahaja ayam malah apa sahaja haiwan yang boleh disembelih mengikut syariat.

“Begitu juga pusat penyembelihan yang terdapat di Kampung Pulau, Masjid Tanah, saya telah berunding dengan pemiliknya dan lokasi terbabit boleh dijadikan pusat latihan praktikal pelajar yang mengambil poket kursus di UNIMEL,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5151
Kongsi :
Previous post UNIMEL bakal dinaik taraf kepada Universiti Islam Melaka
Next post Yuran penginapan pelajar baharu UNIMEL ditaja selama setahun
Ubah saiz-+=