Zainal bangga, namun belum dabik dada

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

“SAYA bangga kerana kita sudah nampak corak pasukan Melaka United yang sebenar.”

Demikian reaksi Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC), Zainal Abidin Hassan selepas anak buahnya menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Beliau berkata, kemenangan itu bukan sahaja menamatkan kemarau kemenangan dalam liga, bahkan turut membantu pasukan memperbaiki kedudukan dan terus menjauhi zon penyingkiran.

“Sejak dari awal, pihak pengurusan, terutama Datuk Seri Justin Lim banyak mengambil berat tentang pasukan dan selalu menekankan aspek prestasi pemain.

“Jadi, alhamdulillah, di sini pemain telah mendapat mandat yang cukup penting dan menjalankan tugas dengan baik untuk mencipta kemenangan.

“Apapun, saya tahu masih ada beberapa perkara boleh diperbaiki dan Insya-Allah, saya mahu pasukan ini meningkat lebih baik dari semasa ke semasa kerana bagi saya kedudukan kita masih belum selamat,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi malam tadi, dua gol di setiap babak yang dijaringkan Sony Norde dan Adriano Narcizo cukup untuk membantu skuad Hang Tuah naik ke tangga ke-9 Liga Super dengan mengutip 15 mata daripada 15 perlawanan.

Mengulas impak penyerang import baharunya, Adriano dan Giovane Gomes, Zainal mengakui ada sedikit peningkatan dapat dilihat berbanding aksi terdahulu.

Namun, beliau percaya masih terdapat ruang boleh diperbaiki duo dari Brazil itu untuk aksi berikutnya.

“Mereka baru beraksi dua perlawanan dan saya harap pemain-pemain lain dapat terus membantu mereka untuk kebaikan pasukan,” ujarnya.

Sabtu ini, MUFC bakal bertandang ke Stadium KLFA Cheras bagi menghadapi cabaran Kuala Lumpur City FC untuk aksi ke-16 Liga Super.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post Aksi Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik jadi tumpuan hari ketujuh Olimpik Tokyo
Next post Kadar vaksinasi harian melebihi 500,000 dos tiga hari berturut-turut – Dr Adham
Ubah saiz-+=