Zaiton ‘hero’ pembersihan Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Seramai lima pekerja pembersihan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dipilih menerima anugerah pada Majlis Kecemerlangan Pekerja Pembersihan Peringkat Negeri Melaka tahun ini.

Majlis anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) (SWCorp) Negeri Melaka itu diadakan di Dewan Kasturi, Kompleks Japerun Ayer Keroh sempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2023.

Pada majlis itu, Ketua Pekerja Rendah Am SWM Environment Zaiton Abdul Latif dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pekerja Pembersihan Negeri Melaka.

Zaiton, 55, yang berasal dari Permatang Pasir Padang Temu menerima anugerah utama itu hasil komitmen dan dedikasinya dalam mengetuai kerja pembersihan bersama 32 anak buahnya.

Dia yang 18 tahun berkhidmat bersama SWM Environment terharu apabila dipilih menerima anugerah berkenaan yang disifatkan sebagai kenangan manis sepanjang kariernya.

“Anugerah ini adalah satu amanah yang perlu dipikul sebagai contoh kepada Pekerja Pembersihan yang lain.

“Saya tidak menyangka akan menerima penghargaan setinggi ini sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam sektor pembersihan.

“Besar harapan saya untuk terus diberikan kesihatan dalam menunaikan tanggungjawab memastikan kebersihan persekitaran di kawasan pelancongan dan berharap semua pihak dapat bersama-sama menjaga kebersihan Negeri Melaka,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

IMG-20230617-WA0018
ZAITON memberikan komitmen tinggi sepanjang 18 tahun berkhidmat bersama SWM Environment.

Selain Zaiton, turut disampaikan Anugerah Tokoh Pekerja Pembersihan Cawangan yang menjadi milik Hamile Hassin (Cawangan Melaka Bandaraya Bersejarah), Mohd Raduan Kadir (Cawangan Hang Tuah Jaya), Ahmad Zamri Abdul Hamid (Cawangan Alor Gajah) dan Wan Mohamad Aswadi Wan Umar (Cawangan Jasin).

Kesemua anugerah telah disampaikan Timbalan Exco Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datin Sapiah Haron dan Pengarah SWCorp Negeri Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Sementara itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dalam satu kenyataan berkata, sambutan Hari Pekerja Pembersihan itu adalah satu pengiktirafan kepada semua pekerja pembersihan yang telah bertungkus lumus memastikan kebersihan dan keselesaan rakyat Melaka.

Katanya, anugerah itu bukan sahaja memberi pengiktirafan dan galakan motivasi kepada penerima malah akan menjadi dorongan kepada rakan sekerja yang lain dalam melakukan kerja pembersihan.

“Masyarakat perlu sentiasa menghargai setiap keringat para pekerja pembersihan yang juga dianggap sebagai pekerja barisan hadapan dalam memastikan persekitaran yang bersih.

“Pihak syarikat akan terus menyediakan tenaga kerja pembersihan yang berkualiti bagi memenuhi perkhidmatan kerja-kerja pembersihan dan memastikan rakyat untuk menikmati kawasan yang bersih dan selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4001
Kongsi :
Previous post Menyingkap erti sebuah pengorbanan
Next post Suami isteri maut, dua anak parah dalam nahas di LPT2
Ubah saiz-+=