Sorting by

×

ZAKAT PENDAPATAN REKOD KUTIPAN TERTINGGI, RM50.75 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 September – Zakat Pendapatan merekodkan kutipan tertinggi di negeri ini dengan nilai RM50.75 juta daripada jumlah keseluruhan RM88.79 juta sehingga 31 Ogos 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, ini menunjukkan keyakinan masyarakat Islam terhadap institusi zakat serta keberkesanan agihan dilaksanakan.

“Sementara itu zakat perniagaan pula menjadi penyumbang kedua paling besar bagi dana zakat dengan kutipan berjumlah RM14.98 juta atau sudah mencapai 55.44 peratus daripada sasaran RM27,024,000 bagi tahun 2025.

“Manakala zakat wang simpanan juga menjadi antara penyumbang utama iaitu dengan kutipan setakat ini berjumlah RM14.28 juta setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima serahan zakat perniagaan daripada McDonald’s Malaysia berjumlah RM150,000 yang disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, di Kota Laksamana, hari ini.

Yang turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia Azhar Darbi.

Menurut Mohamad Azmi, peratusan kutipan dibuat Zakat Melaka bagi tempoh suku ketiga 2025 sudah mencapai 58.04 peratus atau RM88.79 juta daripada sasaran keseluruhan RM153 juta.

“Berdasarkan rekod zakat pertanian merekodkan kutipan terendah iaitu sebanyak RM40,615.66 atau 0.04 peratus. Kami bersama MAIM komited bagi memastikan kutipan zakat dapat diagihkan secara telus dan berkesan kepada golongan asnaf yang layak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post GERHANA BULAN: FAHAMI MAKNA TERSIRAT ILMU FALAK
Next post SENI SILAT: SIMBOLIK SEMANGAT CINTAKAN SENI WARISAN BANGSA DAN NEGARA