Zamani dan isteri harap dapat rentas negeri rai Aidilfitri di Terengganu

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 April – Penyanyi popular, Zamani Slam masih menaruh harapan untuk merentas negeri bagi meraikan Aidilfitri tahun ini di kampung halaman isterinya di Terengganu.

Zamani, 50, berkata, jika dapat merentas negeri, ini adalah kali pertama dia dan isteri Nur Juliana Abdul Rani, 38, menyambut Syawal di luar Kuala Lumpur selepas berkahwin dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada 22 September 2019.

“Tahun lepas, kami tak dapat nak keluar dan hanya beraya di rumah di Kuala Lumpur ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19.

“Dari segi persiapan Aidilfitri tahun ini sederhana sahaja sebab kalau ada peluang, dapat rentas negeri mungkin kami akan beraya di kampung isteri di Terengganu.

“Mudah-mudahan dapatlah rentas negeri, bolehlah kami sambut Syawal dua atau tiga hari di Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas majlis promosi Program Ihya’ Nurani Kasih Ramadan bersama Zamani dan The Sibling’s Band di Hotel LaCrista Melaka 1 Mei ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mencadangkan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri 13 Mei ini ditangguh.

Sebelum itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini.

Sementara itu Zamani berkata, pada persembahannnya 1 Mei ini, dia akan diiringi dengan kumpulan dikenali The Sibling’s Band yang dianggotai enam adik beradik berasal dari Bukit Katil, Melaka.

“Aktiviti program Ihya’ Nurani Kasih Ramadan bersama Zamani dan The Sibling’s Band itu akan menyaksikan saya menyampaikan 12 buah lagu termasuk lagu popular bersama Slam.

“Harga tiket untuk persembahan bermula RM250 seorang selain jualan meja antara RM3,000 hingga RM5,000 yang bakal dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat penganjur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3567
Kongsi :
Previous post Masalah perceraian dan kewangan antara alasan tidak bayar cukai taksiran MPHTJ
Next post Honda RS150 buat peminat MUFC
Ubah saiz-+=