Masalah perceraian dan kewangan antara alasan tidak bayar cukai taksiran MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 16 APRIL. – Masalah keluarga seperti perceraian, kewangan dan rumah di Melaka hanya ‘rumah kedua’ antara alasan diberikan pemilik kediaman di kawasan Hang Tuah Jaya (MPHTJ) untuk tidak membayar cukai taksiran hingga mencecah jutaan ringgit.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata, setakat ini pihaknya masih menggunakan pendekatan ‘berlembut’ dan berharap pemilik kediaman terbabit bertanggungjawab.

“Bermacam alasan diberikan mengapa mereka tidak bayar cukai taksiran ini misalnya masalah kekeluargaan seperti bercerai dan mahu buat tuntutan harta, jadi bila tidak duduk rumah, jadi terbiarlah.

“Ada juga pemilik mengatakan rumah terbabit dijadikan sebagai rumah kedua tetapi mereka tinggal di luar, contohnya di Kuala Lumpur.

“Sebab itu mereka tidak bayar cukai taksiran kerana tidak duduk pun di rumah, cuma jadikan tempat persinggahan,” katanya sambil menambah ada kalangan pemilik rumah memberi alasan masalah kewangan punca mereka tidak melangsaikan cukai itu.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, antara tindakan boleh dikenakan kepada pemilik rumah terbabit termasuk sitaan dan tindakan mahkamah jika gagal melangsaikan tunggakan cukai taksiran itu.

“Yang sebenarnya tidak kira berapa jumlah cukai tertunggak yang tidak dibayar oleh pemilik rumah.

“Bila tidak bayar sahaja, MPHTJ mempunyai kuasa untuk ambil tindakan mahkamah, namun kita masih bertolak ansur dan bagi peluang kepada mereka.

“Kita beri notis kepada penduduk, notis cukai dikeluarkan setahun dua kali. Jika masih berdegil selepas banyak kali bagi notis, kita akan pertimbang bawa ke mahkamah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1035
Kongsi :
Previous post MPHTJ rekod tunggakan cukai taksiran semasa lebih RM6.56 juta
Next post Zamani dan isteri harap dapat rentas negeri rai Aidilfitri di Terengganu
Ubah saiz-+=