
ZIARAH KASIH AYER LIMAU SANTUNI 100 KELUARGA SEMPENA MAULIDUR RASUL
AYER LIMAU 3 September – Japerun Ayer Limau akan menyantuni 100 keluarga sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepanjang program Ziarah Kasih bersempena Sambutan Maulidur Rasul 2025M/1447H.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, baginya program Ziarah Kasih adalah aktiviti perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menyantuni rakyat.
“Sejak menggalas tanggungjawab sebagai Adun Ayer Limau, program Ziarah Kasih sudah menjadi rutin saya. Bersempena Maulidur Rasul ini bagi peringkat Japerun Ayer Limau kami mengadakan program Ziarah Kasih ke 100 buah rumah membabitkan semua 17 kampung.
“Ziarah Kasih ini bermula Isnin dan dijangka akan selesai pada Jumaat dengan anggaran sehari sebanyak 20 buah keluarga akan disantuni,” katanya selepas melakukan Ziarah Kasih, di Taman Dato Setia, Ramuan Cina Besar, semalam.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, Ziarah Kasih menjadi platform terbaik bukan sahaja untuk menyantuni rakyat malah menangani isu terlepas pandang termasuk dalam agihan sumbangan.
“Sudah pastinya kebajikan rakyat menjadi keutamaan, jangan sampai ada penduduk memerlukan tercicir bukan kerana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tidak melaksanakan tugas, tetapi dalam kalangan kurang mampu ini ada yang malu untuk memohon.
“Justeru itu menerusi Ziarah Kasih kita bukan sahaja dapat menyantuni tetapi menangani perkara -perkara terlepas pandang serta isu terpencil selain dapat mengeratkan hubungan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.