Ziarah kasih ‘jambatan penghubung’ rakyat – KM

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 24 April – Sejak mengambil alih tampuk kepimpinanan negeri Mac tahun lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali tidak pernah mengenepikan segala permasalahan dihadapi rakyat.

Jelas Sulaiman, apabila diberi mandat mentadbir negeri ini, antara impiannya ialah untuk mendengar sendiri pandangan selain berkongsi dasar dan perancangan baharu yang dibuat kerajaan.

Sebab itulah ujarnya, beliau mengadakan program Ziarah Kasih pada setiap minggu yang disifatkan sebagai ‘jambatan’ menghubungkan dirinya dengan rakyat di luar sana.

“Menjadi impian saya bila jadi Ketua Menteri Melaka untuk bertemu dengan seramai mungkin orang Melaka.

“Sebab tu, program Ziarah Kasih umpama ‘jambatan penghubung’ antara kerajaan negeri dan rakyat untuk sama-sama memperkasakan penyampaian bantuan dan maklumat.

“Ini bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada mendapat manfaat hasil negeri,” katanya menerusi satu hantaran Facebook rasminya hari ini.

Jelasnya, dalam mendepani pandemik COVID-19 dan ekonomi yang tidak menentu, sudah pasti niatnya adalah untuk mendampingi rakyat dan berusaha menghulurkan bantuan kepada setiap yang memerlukan.

“Memang jadi niat saya untuk terus mendampingi mereka, suka juga saya nak ingatkan rakyat Melaka supaya daftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) supaya takde seorang pun daripada 701,000 jumlah keseluruhan rakyat negeri ini yang layak tertinggal sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Hari ini rutin saya lebih santai dengan ‘terjah’ ziarah kasih ke rumah penduduk dan saudara mara di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu,” katanya.

Katanya lagi, melalui ziarah itu juga beliau mendapat kesempatan bertanyakan khabar rakyat dan pada masa sama menghulurkan sedikit sumbangan.

“Ditemani ‘orang ghumah’ tersayang, Datin Munira M. Yusop saya singgah ke lebih 10 rumah di Kampung Solok Air Budi, Kampung Durian Daun Barat dan Kampung Durian Daun. Memang saja je saya nak buat kejutan tanpa protokol.

“Alhamdulillah, syukur bila dapat bertanya khabau mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post Serpihan KRI Nanggala 402 ditemui
Next post Operasi bazar ikut SOP MKN – Sulaiman
Ubah saiz-+=