Operasi bazar ikut SOP MKN – Sulaiman
AYER KEROH 24 April – Kerajaan Melaka hari ini membenarkan pengoperasian bazar Ramadan diteruskan sehingga jam 2 pagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, bagaimanapun pengoperasian itu boleh dibatalkan pada bila-bila masa sahaja sekiranya terdapat peningkatan wabak COVID-19 dalam kawasan tertentu.
“Semalam apabila Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob benarkan pengoperasian bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi, ianya tertakluk kepada peningkatan positif COVID-19 di dalam satu kawasan.
“Jadi apabila kebenaran itu telah diberikan MKN, maka pihak kerajaan negeri dan MKN negeri akan ikut waktu yang dibenarkan.
“Tetapi ianya bergantung kepada apa sahaja keputusan dari semasa ke semasa yang ditetapkan oleh pihak MKN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Bazar Ramadan Mega 2021 Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Fafa Enterprise, Jaafar Daud.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.