Zii Jia ketepi Momota, mara ke separuh akhir All England

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pemain perseorangan negara Lee Zii Jia meneruskan penguasaannya di Utilita Arena Birmingham selepas menumpaskan pilihan kedua Kento Momota dari Jepun untuk mara ke separuh akhir All England.

Dalam perlawanan suku akhir perseorangan lelaki pada Jumaat (awal pagi Sabtu di Malaysia), Zii Jia, juara bertahan menghasilkan persembahan “mentaliti menang” dengan mencatat kemenangan 21-7, 13-21, 21-11 ke atas juara dunia dua kali dan pemain nombor dua dunia itu.

Dengan sokongan padu penyokong Malaysia di venue, pemain perseorangan lelaki utama negara itu mempamerkan permainan hebat apabila mendahului 17-1 ke atas Momota sebelum memenangi perlawanan pembukaan 21-7.

Pemain Jepun itu berada 3-9 pada set kedua namun berjaya mengumpul 10 mata berturut-turut untuk membawa perlawanan ke penentuan.

Dalam set penentuan, kedua-dua pemain memulakan perlawanan dengan memberangsangkan sehingga 11-11 sebelum Zii Jia menukar pendekatan mengubah pertahanan menjadi serangan dan mengutip 10 mata berturut-turut untuk menamatkan perlawanan dalam masa 64 minit.

“Ada perbezaan angin di gelanggang dan pada set pertama, Momota tidak dapat mengawal bulu tangkis dan rentak dengan baik. Saya mengalami masalah yang sama dalam set kedua.

“Saya cuba mempercepatkan permainan dalam set penentuan dan fokus pada pukulan serangan saya. Strategi itu berfungsi dengan baik sekarang dan kemenangan ini akan memberikan saya lebih keyakinan,” kata Zii Jia kepada media rasmi All England selepas perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Zii Jia mencatatkan kemenangan ketiganya ke atas Momota dalam 11 pertemuan.

Dalam perlawanan separuh akhir, Zii Jia akan bertemu pemain India Lakhsya Sen yang meraih tempat setelah mendapat kemenangan mudah selepas pemain China Lu Guang Zu menarik diri akibat kecederaan.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan pertemuan antara pemegang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 Viktor Axelsen dari Denmark dan pemain Taiwan Chou Tien Chen.

Pemain nombor satu dunia Axelsen mudah mengalahkan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting 21-4, 21-9 pada suku akhir manakala Chou menundukkan seorang lagi pemain Indonesia Jonatan Christie 21-10, 21-15.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tumpas kepada wakil China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 15-21, 15-21 pada suku akhir.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8

Share and Enjoy !

Shares
Previous post COVID: Hanya 185 kes baharu dalam kategori tiga hingga lima
Next post Lebih 9,000 penduduk dipindahkan dari Ukraine dalam tempoh 24 jam